KUALA LUMPUR: Sektor perbankan melihat Belanjawan 2024 sebagai memberikan keseimbangan yang baik antara mengekalkan sokongan yang mencukupi untuk ekonomi domestik dalam persekitaran cabaran luaran yang berterusan, selain terus komited terhadap tanggungjawab fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Datuk Khairussaleh Ramli yang juga Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia berkata belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah komprehensif dan inklusif dengan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pro-rakyat, menyokong Ekonomi Madani serta pelbagai dasar dan pelan hala tuju yang diumumkan baru-baru ini.

"Kami menyambut baik komitmen yang diperkukuh terhadap disiplin fiskal dengan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun depan," katanya dalam kenyataan.

Katanya belanjawan itu turut bertujuan untuk menerajui negara melalui hala tuju ekonomi baharu dengan mengurangkan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan daya saing global dan menyokong iklim pelaburan yang kondusif.

Beliau berkata peruntukan tambahan RM10 juta untuk meningkatkan keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan adalah amat penting.

"Industri perbankan komited untuk bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia untuk mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan pada pertengahan 2024, apabila data utama yang dikumpul boleh digunakan untuk mengesan corak dan hubungan antara akaun yang digunakan oleh sindiket penipuan," katanya.

Khairussaleh berkata penekanan berterusan terhadap kewangan Islam dalam Belanjawan 2024 akan meningkatkan lagi daya saing Malaysia dalam pasaran halal global dan keupayaannya untuk menyediakan penyelesaian perbankan Islam berasaskan nilai.

"Kami turut menghargai insentif cukai untuk belian dan jualan sekuriti Islam dan untuk entiti Labuan yang menjalankan kewangan Islam dalam meningkatkan tahap penyelesaian kewangan Islam kita," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata langkah-langkah yang diumumkan seperti insentif pelaburan semula untuk aktiviti bernilai tinggi, insentif cukai untuk Hab Perkhidmatan Global, perluasan insentif cukai teknologi hijau dan pengurangan cukai untuk Pasaran Karbon Sukarela membantu mengukuhkan ekonomi dan memberi laluan kepada kestabilan makro dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.

"Kami mengalu-alukan langkah untuk meningkatkan daya saing Malaysia dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan, yang akan memacu pelaburan berimpak tinggi dalam sektor yang disasarkan.

"Ini akan membantu meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI), meluaskan hubungan domestik, memacu pembangunan perindustrian dan memperkukuh struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai," katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata Belanjawan 2024 akan membantu negara menempuh ketidaktentuan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal.

Mengulas mengenai sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Bhd Tan Sri Tay Ah Lek berkata geran dan sokongan kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam akan menggalakkan PMKS untuk automasi dan pendigitalan.

"Ini akan mengukuhkan daya tahan PMKS," katanya.

-- BERNAMA